Satu cerita dahulu kala

Tersebut sebuah kisah yang saya dengar di waktu kecil dahulu tapi malangnya terlupa pula sapa tuan penyampai cerita. Akan tetapi cerita yang dibawa itu amat memberi kesan kepada saya sehingga dewasa ini.

Ceritanya begini.....

Ada seorang pemuda yang berjalan di pinggir sebuah kota. Berjalan tanpa arah tujuan yang nyata.


Sesampai ianya di kota, matanya tertumpu kepada seorang wanita tua yang tersangatlah
tuanya. Kalau orang melayu sebut selepas tua, nyanyuk, selepas nyanyuk pikun. Ini lebih teruk daripada pikun sehinggakan kelopak mata wanita itu mencecah bumi. Apa yang menghairankan beliau ialah manusia begitu ramai mengerumuni wanita tua itu kerana cantiknya perhiasan yang dipakai. Dek sirnanya permata, intan dan manikam yang dipakai mereka terlupa hakikat bahawa si pemakainya telah tua bangka berkeropot.

Secara tiba-tiba, gelagat dan gerak geri pemuda tersebut diperhatikan oleh seekor harimau yang muncul secara tiba-tiba. Pemuda yang telah mula merasai resah dan gelabah terus meninggalkan kota itu dan cuba melarikan dirinya dari satu kota ke satu kota dan dari satu hutan ke satu rimba yang lain. Malangnya harimau tersebut masih mengekori beliau walau ke mana pemuda itu pergi.

Ditakdirkan ketika melarikan diri tersebut pemuda itu terjatuh ke dalam sebuah lubang yang amat dalam. Pemuda tersebut bernasib baik kerana
dapat memaut kepada tali yang terdapat pada lubang itu.

Apabila dijenguk ke bawah, alangkah terperanjatnya pemuda itu kerana di bawah dasar lubang itu terdapat pelbagai binatang yang sangat berbisa dan bunyi yang sungguh luar biasa seramnya.

Apabila dijenguk ke atas pula, sekali lagi beliau terperanjat kerana terdapat 2 ekor tikus, seekor putih dan hitam seekor lagi sedang menggigit tali yang sedang dipautnya.

Pemuda itu seolah-olah menghitung hari samada beliau akan diselamatkan orang atau terus menanti untuk terperosok ke bawah dasar menjadi makanan lazat haiwan yang menakutkan.

Sementara menanti itu, terlihatlah akan pemuda itu Sang Helang melayang-layang di udara. Di kaki Sang Helang itu rupa-rupanya terdapat sebekas madu yang amat nikmat di mata beliau. Dengan tak semena-mena madu itu tumpah dan masuk tepat ke arah pemuda itu. Dengan pantas dia membuka mulut seluas-luasnya dan memang usaha beliau itu berhasil. Madu yang lazat memasuki tenggorokannya membawanya ke alam fantasi, fana .....
Tali yang selama ini dipegang erat, dilepas begitu sahaja.


Makna cerita
Wanita tua tersebut adalah DUNIA. Semakin tua dunia semakin ramai pencita. Seolah-olah dunia ini akan kekal selamanya. Akibat perhiasan yang dipakai dunia ramai yang terpukau dan terlena, seolah-olah kebahgiaan kekal selamanya.

Harimau dimaksudkan adalah Malakul Maut. Kemana sahaja seorang insan itu pergi pasti malaikat maut akan menjengahnya. Adalah dikhabarkan melalui sepotong hadith, Rasulullah bersabda " bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari." Kerja malaikat ini sangat efektif tidak lambat sesaat dan tidak akan cepat sesaat. Walaubagaimanapun tidak ramai yang menyedari yang diri mereka sentiasa diperhatikan oleh malaikat izrael kecuali mereka yang solih dan terpilih.

Tikus putih dan hitam pula diibaratkan seperti siang dan malam. Samada kita sedari atau tidak masa akan terus berjalan. Samada kita beribadah atau tidak, masa akan terus berjalan ....
Samada kita beramal solih atau tidak, masa akan terus berjalan....
Samada kita mati dalam iman atau tidak, masa akan terus berjalan.....

Lubang yang dalam dan dipenuhi dengan haiwan berbisa pula diibaratkan seperti neraka, menunggu mereka yang lalai dan menderhaka.

Tali adalah seperti aqidah yang perlu dipegang dengan erat dan kuat. Islam hanya menawarkan satu jalan sahaja iaitu jalan yang lurus seperti mana yang terdapat dalam surah al-fatihah "Tunjukilah aku jalan yang lurus"

Helang dan madu adalah syaithan yang menggoda. Sesiapa yang tergoda dengan pujuk rayu syaithan maka akan melepaskan tali yang sepatutnya dipegang kemas.

Cerita ini mungkin sedikit berlainan daripada cerita sebenar kerana saya menerimanya daripada mulut ke mulut. Sesiapa yang ada cerita sebenar dialu-alukan untuk berkongsi.

0 comments:

Post a Comment


Template Brought by :

blogger templates